Mencari Permata Cordova

Nilai intellegensia yang perlu dikembalikan..

Al-Ghurur:Waspada Para Daei!

 

Al-ghurur (tertipu dengan diri sendiri) dalam etimologi bahasa membawa makna yang sama dengan al-khida’ iaitu penipuan, pada diri sendiri atau orang lain. Dari Istilah pula membawa definisi kekaguman ‘amilin pada diri sendiri hingga ke tahap menghina atau memperkecil-kecilkan setiap apa yang diusahakan oleh orang lain.

 

Dalam bahasa mudah, satu sifat atau cara berfikir atau cara bertindak yang merasakan dirinya hebat sedangkan orang lain lekeh di pandangannya, berkaitan juga dengan sifat egoistik dan al-‘ijab binnafsi (ujub/hairan pada diri sendiri). Pendek kata, usaha orang lain dipandang pesimis sedangkan pandangannya dan ideanya di lonjakkan atau dilebih-lebihkan (exaggerate). Kononnya hanya pandangannya sahaja yang betul,yang lain salah dan yang lain lemah. Lantas bertindak membuat provokasi dan menanamkan ciri-ciri inferiority complex kepada orang lain.Bagi para daei,sifat ini amat signifikan untuk dihalang dari menguasai fikrah, mantaliti, dan tindakan dalam gerakkerja,kerana ia mampu merosakkan kesatuan dan kekuatan kolektiviti dalam berorganisasi.

 

Dari konteks yang lebih luas, jika kita berada didalam organisasi, kita memandang organisasi kita adalah yang terbaik, terbagus tanpa kita melihat kepada aspek-aspek penyempurnaan yang belum terlaksana. Contohnya persoalan yang ditimbulkan dalam kerangka politik, gerakan Islam memperjuangkan untuk memenangi pilihanraya namun bagaimana dengan pengisiannya jika diberi kemenangan? Bagaimana nasib artis, bagaimana konsep kehakiman negara dan lain-lain? Untuk mengelakkan kita terjebak dengan al-ghurur, isu ini perlu diperbincangkan dan di ‘brainstorm’. Namun,saya meyakini kepimpinan yang ada sudah merangka strategi yang jelas untuk perancangan forecasting nanti.

 

Apa punca dan sebab timbulnya sifat al-ghurur ini?

 

1) Lalai untuk mengkaji dan memuhasabah diri.

 

Kegagalan seseorang untuk melaksanakan proses muhasabah atau check and balance dalam diri sendiri boleh menjadi pemangkin tumbuhnya gejala al-ghurur dalam diri.Bahkan Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin menggariskan ujub dan takabbur antara sebab yang menimbulkan perasaan Hasad dengki (P.H.D), dan tentunya akibat gagal memuhasabah, timbulnya ujub dan takabbur.

 



Bila gagal mengkaji diri, timbul sikap suka memperlekehkan orang lain,dan memperkecilkan usaha orang lain yang membuat usaha yang sama sepertinya. Orang lain buat tak kena itu, tak kena ini, ada sahaja yang tak kena baginya. Jiwanya dan pemikiran sentiasa bertindak dengan minda kritikal tidak bertempat, diwakilkan dengan topi hitam, yang berciri kritikal sepanjang masa (6 Hat’s Thinking Theory from Edward de Bono/Teori 6 topi berfikir). Fathi Yakan menyatakan dalam buku ‘Golongan tercicir’, antara sebab keciciran yang berpunca dari diri individu ialah tertipu dengan kedudukan dan bersikap menonjol diri. Ingatlah juga peringatan Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 18.

Amalan muhasabah cukup signifikan kerana Rasulullah SAW mengisyaratkan dalam hadith yang berbunyi : “Orang yang berakal ialah orang yang sentiasa memperhitungkan dirinya dan mengerjakan amalan-amalan untuk bekalan mati” (Tirmidzi). Dengan kata lain dari hadis ini, orang yang tidak bermuhasabah ialah orang yang tidak berakal.

Saidina Umar juga menyebut iaitu “hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung dan timbangilah dirimu sebelum kamu ditimbang. Dan bersedialah kamu untuk menghadapi pengadilan yang maha besar”.Bahkan nama-nama besar dalam Islam seperti Umar Abdul Aziz juga sentiasa berbicara tentang kematian dan hari pembalasan. Mengenangkan hari al-hasyr wal jaza’ kelak.


2) Lalai atau enggan menerima bimbingan.

Islam menggalakkan konsep ‘tawasaubil haq wa tawasaubis sabb’ iaitu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Bahkan Nabi SAW juga menegaskan bahawasanya agama itu adalah nasihat.Apabila simpstom al-ijab binnafsi mendominasi sifat seseorang, ia akan menghalakannya kearah sifat al-ghurur. Kerana itu al-ghurur juga menjadi sebahagian ciri ego, menjadikannya bersifat ananiyyah dan tidak mahu mendengar pandangan, teguran serta bimbingan orang lain. Pandangan orang lain,padanya simplistik.

Bahkan individu hebat seperti Abu Bakar r.a dan Umar r.a juga membuka ruang kepada orang lain memberi nasihat dan bimbingan kepada mereka,walaupun mereka sahabat utama Nabi, walaupun mereka yang terjamin jejaknya di syurga. Seperti kata Abu Bakar : “Jika aku betul,maka tolonglah aku.Jika aku salah maka betulkan aku”. Sahabat nabi yang mulia ini pun rela ditegur,dibimbing dan dinasihat, apatah lagi kita insan yang terdedah dengan kemaruk kemaksiatan di merata-rata, harus lebih terbuka mendapatkan bimbingan orang lain untuk mengelakkan penyakit al-ghurur.

Konsep ‘memberi’ dan ‘menerima’ perlu wujud untuk membentuk diri daei yang lebih mantap, seperti kata pepatah Inggeris “What you give,you take back”.Bahkan dalam konsep yang disebut oleh Stephen R.Covey iaitu “Seek to understand then to be understood” iaitu bersedia untuk memahami jika mahu difahami orang lain, juga boleh dipraktikkan. “Put yourself in their shoes” juga keperluan penting bagi daei dengan syarat, kita sedia di bimbing dan di nasihati, harus ada sikap ‘bersedia dibimbing untuk membimbing’.



3) Tasydid atau keterlaluan dalam agama.

Keterlaluan dalam memahami dan melaksanakan tuntutan agama juga menjadi penyebab lahirnya penyakit al-ghurur. Pada mereka (golongan al-ghurur), orang disekeliling terlalu bersifat sederhana dan mengambil pendekatan moderate, lantas mengatakan sahabat disekeliling tidak serius dan mengabaikan tugas dalam jalan Allah. Lalu,diperkecilkan usaha orang lain disebabkan mereka tidak memahami nature agama itu sendiri. Rasulullah SAW sendiri menegur 3 orang sahabat yang tidak mahu berhenti beribadat, tidak mahu berbuka dan tidak mahu berkahwin semata-mata kerana teruja dengan ibadah Rasulullah SAW.

Realiti masyarakat Islam kini, berlaku juga amalan keterlaluan dan perbuatan bersifat takalluf (memberatkan) sedangkan Islam datang dengan mudah dan moderate. Contohnya amalan golongan tarikat dan golongan tasawwuf yang melampau. Golongan ini yang menolak konsep ibadah khusus seperti menyatakan solat cukup hanya dengan niat, puasa tidak wajib dan lain-lain jelas bertentangan dengan hukum Islam. Kebergantungan kepada sheikh atau tuan guru tarikat hingga menafikan kebergantungan dan ubudiyyah kepada Allah SWT turut menjejaskan aqidah umat Islam kini.

Sejarah Ikhwanul Muslimin juga menukilkan, ada golongan yang merupakan organisasi tahalluf IM iaitu Gerakan pemuda Mesir yang tidak memahami konsep tauhid hakimiyyah yang diperkenalkan oleh Syed Qutb dalam kitabnya Ma’alim Fitthariq dan mengambil tindakan isti’jal dan tasydid. Ketidakfahaman mereka dalam menafsirkan Islam secara betul mendorong tindakan mereka membakar dan merosakkan pusat-pusat hiburan di Mesir dan ia menjadi batu loncatan untuk kerajaan mesir mengemukakan pertuduhan kepada IM dan Syed Qutb. Akhirnya,Syed Qutb syahid di tali gantung. Bahkan Hasan Hudaibi juga mengeluarkan buku Duat la Qudhah sebagai refleksi kepada fenomena melampau yang dilakukan oleh puak Takfir wal hijrah.

Dalam kitab Al-Mutasaqitun ala thaqiruddakwah, Ustaz Fathi Yakan juga menggariskan sifat keterlaluan juga menjadi sebab keciciran seseorang daei, berpunca dari individu itu sendiri. Islam datang dalam bentuk azimah dan rukhsah,maka fahamilah islam, janganlah terlampau takalluf juga jangan terlampau ta’assuf. Jangan kerana kepentingan sendiri ,yang haram menjadi halal dan halal menjadi haram, kerana konsep ‘the ends justify the means’ kelolaan Nicollo Micheavelli bertentangan dengan asas usul fiqh “Al-Ghayah La Tubarrirul wasilah” iaitu matlamat tidak menghalalkan cara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on December 15, 2007 by in Tarbiyyah.
%d bloggers like this: